Friday, April 13, 2012

Sungai Mengalong Syurga Kaki Pancing Udang Galah

Oleh : Admin WS

Sungai Mangalong yang terletak di Sindumin Sipitang merupakan syurga bagi kaki pancing khususnya “pemburu” Udang Galah kerana sungai ini masih kaya dengan spesis Udang Galah bersaiz besar. Udang Galah Sungai Mangalong juga dikatakan lebih memberikan cabaran kepada kaki pancing kerana ia agak ganas dan memberikan cabaran yang lebih kepada si pemancing semasa pertarungan menaikkannya ke permukaan air.
Sepit Kuning dan Sepit Biru
Terdapat dua jenis udang galah yang boleh didapati di Sungai Mangalong. Udang Galah bersepit biru tua merupakan spesis yang mempunyai saiz yang lebih besar. Manakala Udang Galah yang mempunyai sepit kekuning-kuningan bersaiz lebih kecil.
Satu lagi kelebihan Udang Galah Sungai Mangalong ialah kerana rasanya yang “manis” apabila dimasak dan kenyal dikunyah. Berbeza dengan sesetengah tempat, dimana terdapat udang galahnya yang isinya hancur apabila dimasak dan rasanya agak tawar.
Bagi kaki pancing pula mereka mempuyai pandangan sendiri tentang udang galah. Kebanyakkan mereka lebih mengemari udang galah yang mempunyai sepit kekuning-kuningan atau “Udang Galah Badal” (dalam bahasa tempatan ) kerana ia lebih agresif.
Manakala Udang Galah bersepit biru tua atau “Nangalah Basauh” dalam bahasa tempatan dikatakan tidak berapa melawan semasa ditarik sebaliknya hanya mendiamkan diri. Udang jenis ini hanya akan menunjukkan aksi apabila hampir ke permukaan air.
Percaya atau tidak, kaki pancing sejati boleh lupa kepada makan dan minum serta tidak hirau panas serta hujan gara-gara menikmati keseronokan memancing. Malah masa berlalu seolah-olah tidak terasa apabila pancing yang dipasang tidak henti-henti dihenjut dan di sentap“mangsa”. Paling seronok ialah apabila memancing bersama rakan dalam kedudukkan yang tidak jauh diantara satu sama lain. Persaingan yang dirasakan membuatkan setiap orang ingin mendahului dari segi jumlah tangkapan.

Sudah menjadi lumrah bagi kaki pancing di sini dimana, hanya tangkapan Udang Galah sahaja yang biasanyanya menjadi kebangaan dan sebutan. Manakala bagi spesis lain seperti Belida atau Baung seakan tidak dihiraukan oleh pemancing. Malah terdapat pemancing yang melepaskan kembali ikan berkenaan ke Sungai sebaik ia berjaya dinaikkan. 
belida
 Lokasi memancing yang sering menjadi tumpuan kaki pancing di Sugai Mangalong ialah di sekitar Kampung Luagan, Sindumin Baru, Patarikan, dan Kampung Banting. Walaumacamanapun tidak semua tempat sepanjang sungai berkenaan sesuai untuk memancing Udang Galah. Hanya kaki pancing yang sudah biasa berkunjung ke tempat ini tahu lubuk sebenar Udang Galah di kawasan ini kerana Sungai Mangalong mempunyai tebing yang sangat panjang.
Bagi yang pemancing yang tidak menggunakan bot, ia tidak lagi menjadi masaalah yang besar kerana perjalanan menuju ke lokasi memancing melalui daratan kini semakin mudah dengan wujudanya rangkaian jalan beraspal menghubungkan Pekan Sindumin hinggalah ke Kuala Mangalong. Diantara Lubuk atau Lokasi yang sering menjadi tumpuan kaki pancing ialah Lubuk Si Kapung, Lubuk Besar Patarikan, Kawasan kebun Si Atong, tebing sepanjang jalan Siputol menuju Kampung Banting dan Kawasan tebingan sungai perkuburan orang Islam Kampung Banting.
 Manakala terdapat satu lagi kawasan yang agak jauh sedikit , iaitu kawasan kebun Kelapa sawit sebelum sampai ke Kampung Kuala Mangalong. Walaumacamanapun untuk sampai ke kawasan ini pemancing terpaksa berjalan kaki kerana tidak terdapat jalanraya.

Namun bagi kaki pancing jauh atau dekat, susah atau payah untuk sampai ke suatu lokasi memancing tidak jadi persoalan utama kerana yang penting adalah kepuasan dalam memperolehi tangkapan yang dinginkan.





     

    

1 comment: